Translate

Wednesday, September 1, 2021

Abdul Karim dilantik CEO Satu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) mengumumkan pelantikan Abdul Karim Endut, 51, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuatkuasa esok.

Beliau yang sebelum ini merupakan Ketua Perkhidmatan Operasi Air Selangor menggantikan Atemin Sulong yang bersara pada 24 Julai lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau berharap pengalaman luas Abdul Karim dapat meningkatkan Satu yang merupakan syarikat pengendali bekalan air negeri sebagai salah sebuah badan korporat terbaik.

“Saya yakin beliau berupaya menerajui Satu ke arah perubahan pengoperasian dan amalan yang lebih baik dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Karim yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bahan dari Universiti Heri-Poincare, Perancis mempunyai lebih 26 tahun pengalaman dalam pengurusan operasi perkhidmatan air, teknikal dan penyelenggaraan air serta pengagihan dan pengurusan loji rawatan air.

Beliau pernah berkhidmat di Konsortium Air Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan Ondeo Services (M) Sdn. Bhd.

Tugas pertama Abdul Karim sebaik menerajui Satu sudah pasti menggunakan pengalamannya bagi mengatasi isu krisis air melibatkan lebih 150,000 pengguna di daerah ini dan Kuala Nerus yang dijangka berlanjutan sehingga 12 September depan. – K! ONLINE

TDM catat kenaikan pendapatan 32 peratus

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mencatatkan pendapatan RM111 juta pada suku kedua kewangan tahun ini.

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, ia merupakan kenaikan 32 peratus berbanding RM83.9 juta pada suku sama pada tahun lalu.

“Lonjakan pendapatan tersebut didorong oleh prestasi memberangsangkan bagi kedua-dua sektor iaitu peladangan dan penjagaan kesihatan masing-masing pada kadar RM57.3 juta dan RM53.7 juta

“Pendapatan pada bahagian penjagaan kesihatan telah meningkat sebanyak 49 peratus berbanding suku kedua tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raja Idris berkata, pemulihan sektor penjagaan kesihatan di rangkaian hospital milik TDM disumbangkan oleh pertambahan bilangan pesakit pada kadar sehingga 66 peratus.

Jelas beliau, rangkaian hospital TDM juga telah terlibat sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) dengan kadar vaksinasi sebanyak 500 sehari selain sebahagiannya juga menjadi pusat pemindahan pesakit bukan Covid-19 daripada hospital kerajaan.

“Prestasi sektor penjagaan kesihatan pada masa hadapan amat bergantung kepada pencapaian imuniti kelompok dalam populasi negara ini yang dijangka dapat dicapai selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya. K! ONLINE

Drawbrige tak sesak malam semalam – PDRM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu menafikan penyebaran klip video di media sosial yang mendakwa kononnya kesesakan luar biasa berlaku di kawasan Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau dikenali sebagai Drawbrigde di sini pada malam ambang merdeka semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi berkata, siasatan mendapati kesemua video kesesakan lalu lintas itu merupakan koleksi lama yang berlaku sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

“Ia merupakan video dan gambar lama sambutan ambang merdeka tahun-tahun sebelum ini dan program ceramah Ustaz Abdul Somad (pada Februari 2020) yang cuba ditularkan kembali.

“Pemantauan pasukan polis di sekitar Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Batu Burok di sini pada malam tadi mendapati suasana amat terkawal dan tiada aktiviti berkumpulan di kawasan itu berlaku selepas pukul 10.30 malam,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu sebuah video mendakwa kononnya berlaku kesesakan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu bagi menyambut Ambang Merdeka tanpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menimbulkan salah faham dan kecaman ramai netizen.

Rohaimi menegaskan kawasan tumpuan tersebut telah dikawal oleh kereta peronda polis selain menutup sebahagian laluan masuknya sejak petang kelmarin bagi mengelak insiden tidak diingini.

Sehubungan itu, beliau kesal dengan penyebaran video palsu berkenaan di media sosial oleh individu tidak bertanggungjawab yang dipercayai bermotifkan meraih publisiti semata-mata.

“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimim RM50,000 atau penjara sehingga setahun jika sabit kesalahan,” katanya. – K! ONLINE