Translate

Thursday, June 3, 2021

Jari budak perempuan tersepit tombol pintu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang budak perempuan terpaksa menahan kesakitan lebih 45 minit selepas jari telunjuk kirinya tersepit dengan tombol pintu bilik rumahnya di Kampung Bukit Payung di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.08 pagi itu, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dalam keadaan tombol pintu tersebut masih berada pada jarinya.

Penyelia Operasi Balai Bomba Jalan Kota, Faizal Abu Bakar berkata, pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk mengeluarkan jari telunjuk mangsa yang tersepit dengan tombol pintu berkenaan.

Beliau berkata, difahamkan mangsa bermain dengan tombol pintu salah sebuah bilik di rumahnya sebelum jari telunjuknya tersepit.

“Ibu dan ibu saudara kanak-kanak perempuan berkenaan mengambil masa kira-kira 15 minit cuba mengeluarkan jari mangsa daripada tombol pintu itu tetapi gagal.

“Mereka kemudian membawa mangsa ke HSNZ sebelum pakar perubatan hospital itu menghubungi bomba untuk meminta bantuan,” katanya di sini hari ini.

Faizal berkata, jari mangsa berjaya dikeluarkan daripada tombol pintu tersebut dengan menggunakan peralatan khas.

Jelas beliau, operasi bantuan tersebut agak mencabar kerana tombol pintu itu agak tebal dengan mempunyai dua lapisan besi. – K! ONLINE

Wednesday, June 2, 2021

Jumpa mayat terapung di Sungai Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Penduduk Kampung Bukit Datu gempar dengan penemuan satu mayat lelaki di Sungai Terengganu berhampiran perkampungan tersebut hari ini.

Mayat berkenaan ditemui terapung di bawa arus sungai itu pada pukul 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat lelaki tersebut.

“Berdasarkan keadaan fizikal mayat, kita percaya ia telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam lalu.

“Mayat itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, operasi mengangkat mayat lelaki itu yang lengkap berpakaian dilakukan oleh 13 anggota bomba yang memakai pakaian peralatan perlindungan diri ( PPE).

Abdul Rahim berkata, mana-mana pihak yang mengenali mangsa atau kehilangan ahli keluarga mahupun kenalan pada masa terdekat diminta tampil melakukan pengecaman atau membantu siasatan. – K! ONLINE

Menteri Besar Terengganu, Exco sumbang sebulan gaji

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu termasuk Menteri Besar bersetuju untuk memotong gaji mereka selama sebulan untuk disalurkan ke dalam Tabung Covid-19 negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penjawat awam negeri itu turut menyumbang ke dalam tabung berkenaan menerusi pemotongan elaun.

Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu turut mengumumkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (Berkat 3.0) bagi mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat negeri tersebut yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai semalam.

“Program Berkat 3.0 yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM6.4 juta akan dilakukan secara bersasar.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu akan menerima RM200,00 dan ia diagihkan secara dua fasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu juga bersetuju untuk menangguhkan sewaan premis perniagaan milik kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan selama dua bulan sehingga Julai depan.

Jelas beliau, penangguhan sewaan itu tertakluk kepada premis perniagaan yang terpaksa ditutup berikutan pelaksanaan PKP penuh selain kadar sewaannya tidak melebihi RM5,000 kecuali tapak menara telekomunikasi.

“Peminjam Yayasan Terengganu yang berpendapatan bawah RM2,500 juga diberi pilihan untuk memohon moratorium selama tiga bulan,” katanya. – K! ONLINE