Translate

Monday, December 4, 2017

Gelombang kedua banjir dijangka Jumaat ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir terutama di Pantai Timur yang dijangka berlaku pada Jumaat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, berdasarkan ramalan kaji cuaca, fenomena air pasang besar dijangka bakal berlaku di perairan negara pada bermula pada hari tersebut.

Beliau berkata, Jabatan Meterologi Malaysia juga telah mengeluarkan amaran cuaca peringkat kuning dengan jangkaan hujan lebat bakal melanda Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian Johor dari 7 hingga 10 Disember ini.

"Kita telah bersiap siaga untuk menghadapi banjir (gelombang kedua) pada bila-bila masa terutama sewaktu fenomena air pasang pada 8 Disember ini. Jika perlu, mangsa banjir di lokasi terlibat perlu dipindahkan di pusat pemindahan seawal 7 Disember (ini).


"Nadma dan jentera agensi lain yang terlibat dalam pengurusan banjir sentiasa berada di lapangan bagi memastikan kelancaran proses pemindahan penduduk yang menjadi mangsa banjir terbabit," katanya selepas melakukan tinjauan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, December 1, 2017

Mangsa banjir Terengganu kembali meningkat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Empat daerah di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Dungun kembali dilanda banjir hari ini berikutan hujan lebat yang turun selama lebih 24 jam sejak petang semalam.

Keadaan banjir di Besut juga masih belum surut manakala semua 27 mangsa banjir di Setiu yang sebelum ini ditempatkan di Surau Kampung Nyatoh telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, sebanyak tujuh pusat pemindahan yang ditutup kelmarin kembali di buka semalam iaitu empat di Marang dan masing-masing satu di Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Beliau berkata, banjir di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Dungun yang sebelum ini telah surut kembali dinaiki air bah setakat pukul 7 malam ini.

"Seramai 284 mangsa daripada 83 keluarga telah ditempatkan di lapan pusat pemindahan di daerah-daerah terbabit.


"Marang mencatatkan mangsa banjir teramai iaitu 183 orang diikuti Kuala Terengganu (41), Dungun (32), Besut (21) dan Kuala Nerus (14)," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Mangsa banjir Terengganu kekal 48 orang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir Terengganu yang masih menetap di pusat pemindahan di negeri ini kekal 48 orang setakat pukul 7 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, hanya dua pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tembila, Besut dan Surau Kampung Nyatoh, Setiu.

"Seramai 21 mangsa dari tujuh keluarga masih menetap di pusat pemindahan SK Tembila manakala 27 mangsa dari lima keluarga pula di Surau Kampung Nyatoh.

"Seorang mangsa yang sebelum ini menetap di pusat pemindahan Surau Kampung Nyatoh telah pulang ke rumah malam tadi setelah banjir yang melanda rumahnya mulai surut," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sebelum ini, semua pusat pemindahan di daerah Marang, Dungun, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu telah ditutup sepenuhnya semalam. - K! ONLINE