Translate
Sunday, August 7, 2011
Posmen, tentera antara yang direman
Suspek-suspek berusia di antara 20 hingga 26 tahun kini direman masing-masing selama empat dan tujuh hari iaitu sehingga Isnin dan 11 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Difahamkan, salah seorang suspek merupakan posmen, seorang anggota tentera yang lari daripada tugas manakala dua lagi pengganggur.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, siasatan awal pihaknya mendapati samun merupakan motif utama kejadian.
"Dua suspek pertama masing-masing berusia 26 tahun ditahan di sekitar tempat kejadian malam semalam (kelmarin) manakala dua lagi ditahan di Tanjung Malim dan Slim River dekat sini. Mereka yang berusia 20 dan 22 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang dan 10.25 malam.
"Polis turut menemui barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa bersama salah seorang suspek. Salah seorang suspek dicari polis kerana terlibat dengan kes rogol di Slim River pada awal tahun ini," katanya pada sidang akhbarr di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan tiga lelaki yang berhasrat untuk melupuskan mayat Rohani selepas membunuhnya terbantut apabila mereka terserempak dengan beberapa penghuni pada pukul 3 pagi.
Mayat wanita yang masih bujang itu ditemui dibalut dengan selimut tebal dan ditinggalkan di atas tangga di tingkat dua, Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun.
Menurut Zakaria, pihaknya percaya salah seorang suspek yang ditahan terlibat memecah masuk rumah mangsa pada 14 Julai lalu yang mengakibatkan mangsa kerugian RM15,000. Mereka juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.
Adili segera untuk terima balasan

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - "Kami harap pembunuh adik saya dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin untuk menerima balasan atas perbuatan kejam mereka.
"Ekoran kejadian itu, bapa saya (Kasim Idris, 75) yang terlantar di hospital sejak enam bulan lalu kerana penyakit usus telah pengsan beberapa kali kerana terkejut manakala ibu, Sharifah Razali, 72, dilanda kesedihan yang teruk."
Demikian rintih Ruzaina, 41, kakak Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 38, yang mati akibat dicekik perompak dalam kejadian di tingkat dua, Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun, dekat sini kelmarin.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan polis memberkas empat lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu semalam.
Menurut Ruzaina, mereka sekeluarga bersyukur dan berterima kasih dengan kecekapan polis menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dalam tempoh yang singkat.
"Adik yang periang dan menjadi harapan keluarga tiba-tiba menemui ajal akibat perbuatan kejam dan ganas mereka yang tidak berhati perut itu. Pembunuh itu tidak berperikemanusiaan kerana ketika saya lihat jenazah arwah sewaktu dimandikan, mukanya cedera teruk.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya tetapi masih sukar untuk menerima cara kematiannya yang begitu kejam," ceritanya ketika dihubungi semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan Rohani yang belum berkahwin menemui ajal akbat dicekik perompak. Mayatnya kemudiannya dibalut lalu diseret sebelum ditinggalkan di atas tangga selepas pembunuhnya terserempak dengan beberapa penghuni."Ambil sahajalah barang berharga, kenapa perlu membunuh?" katanya sayu.
Friday, August 5, 2011
Cekik, balut, seret mayat wanita

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Kebimbangan seorang Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak mengenai rumahnya yang dipecah masuk hingga mengakibatkannya kerugian RM15,000 sampai ke kemuncaknya apabila dia ditemui mati dicekik semalam.
Mayat Dr. Rohani Kasim, 38, yang masih bujang ditemui dibalut dengan selimut tebal dan ditinggalkan oleh tiga lelaki dipercayai jirannya di atas tangga di tingkat dua Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun dekat sini.
Difahamkan, tiga penjenayah terbabit bertindak meninggalkan mayat anak ketujuh daripada 10 beradik itu di situ pada pukul 3 pagi selepas terserempak dengan beberapa penghuni ketika mereka disyaki hendak mengangkat mayat tersebut untuk dilupuskan.
Mangsa sebelum ini menjawat jawatan Pendaftar Kolej Pertanian Malaysia, Sintok, Kedah. Dia kemudian dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang dan berpindah ke situ bulan lalu.
Kakak mangsa, Ruzaina, 41, memberitahu, sebelum kejadian, adiknya ada mengadu yang dia bimbang mengenai keselamatan dirinya yang tinggal bersendirian di rumah baharu tersebut berikutan premis itu telah dipecah masuk kira-kira seminggu sebelum Ramadan.
"Ketika kami bertemu di kampung di Parit Haji Ali, Bagan Serai Isnin lalu, dia mengadu kerugian RM15,000 apabila barang kemasnya telah dilarikan penjenayah.
"Selain itu, dia juga tertekan berikutan pejabatnya diserbu ramai penternak lembu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak mengharamkan penyembelihan lembu betina baru-baru ini," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, tukang kebun apartmen tersebut, Mohd. Faisal Mat Ghani, 28, berkata, dia bergegas ke blok tersebut sebaik terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi riuh-rendah.\
"Pengawal keselamatan dan beberapa penghuni memberitahu yang mereka ada melihat tiga lelaki sedang menyeret mayat mangsa yang digulung dalam selimut tebal sebelum ditinggalkan di atas tangga sebaik terserempak."Berderau darah saya apabila melihat kaki mangsa terjuntai di atas tangga sebaik sampai dengan tubuh wanita itu diikat dan digulung dengan selimut tersebut," ceritanya lagi.
Dalam pada itu, rakan sekerja mangsa, Roslizan Nekmat, 45, berkata, pada petang kejadian, Rohani yang mengadu migrain ada memintanya membeli ikan bakar untuk berbuka puasa pada pukul 4.15 petang.
Bagaimanapun katanya, selepas membeli menu tersebut, dia gagal menghubungi Rohani sebelum pergi ke rumahnya pada pukul 7.15 malam.
"Saya menggantung ikan itu di tombol pintu selepas salam saya tidak dijawab sebelum beredar. Saya naik semula ke rumahnya selepas ternampak kereta Volvo S60 milik mangsa di tempat letak kereta tetapi masih gagal menemuinya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim dalam satu kenyataan memberitahu, polis telah menahan dua lelaki masing-masing berusia 26 tahun berdekatan apartmen tersebut bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Kita masih menyiasat motif pembunuhan dan tidak menolak kemungkinan suspek juga terlibat memecah masuk rumah mangsa baru-baru ini. Bagaimanapun, kejadian pagi tadi (semalam) tiada kesan umpil pada pintu rumah mangsa," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supritendan A. Nirmala di talian 05-2531500 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Jenazah Rohani dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Haji Ali, Bagan Serai selepas solat Asar semalam.