Translate

Sunday, August 7, 2011

Posmen, tentera antara yang direman

IPOH - Dalam tempoh kurang 24 jam, polis negeri ini berjaya menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim di Apartmen Lakeview, Tambun dekat sini dengan tertangkapnya empat lelaki yang merupakan jiran mangsa semalam.

Suspek-suspek berusia di antara 20 hingga 26 tahun kini direman masing-masing selama empat dan tujuh hari iaitu sehingga Isnin dan 11 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Difahamkan, salah seorang suspek merupakan posmen, seorang anggota tentera yang lari daripada tugas manakala dua lagi pengganggur.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, siasatan awal pihaknya mendapati samun merupakan motif utama kejadian.

"Dua suspek pertama masing-masing berusia 26 tahun ditahan di sekitar tempat kejadian malam semalam (kelmarin) manakala dua lagi ditahan di Tanjung Malim dan Slim River dekat sini. Mereka yang berusia 20 dan 22 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang dan 10.25 malam.

"Polis turut menemui barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa bersama salah seorang suspek. Salah seorang suspek dicari polis kerana terlibat dengan kes rogol di Slim River pada awal tahun ini," katanya pada sidang akhbarr di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan tiga lelaki yang berhasrat untuk melupuskan mayat Rohani selepas membunuhnya terbantut apabila mereka terserempak dengan beberapa penghuni pada pukul 3 pagi.

Mayat wanita yang masih bujang itu ditemui dibalut dengan selimut tebal dan ditinggalkan di atas tangga di tingkat dua, Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun.

Menurut Zakaria, pihaknya percaya salah seorang suspek yang ditahan terlibat memecah masuk rumah mangsa pada 14 Julai lalu yang mengakibatkan mangsa kerugian RM15,000. Mereka juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

No comments:

Post a Comment