Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - "Kami harap pembunuh adik saya dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin untuk menerima balasan atas perbuatan kejam mereka.
"Ekoran kejadian itu, bapa saya (Kasim Idris, 75) yang terlantar di hospital sejak enam bulan lalu kerana penyakit usus telah pengsan beberapa kali kerana terkejut manakala ibu, Sharifah Razali, 72, dilanda kesedihan yang teruk."
Demikian rintih Ruzaina, 41, kakak Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 38, yang mati akibat dicekik perompak dalam kejadian di tingkat dua, Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun, dekat sini kelmarin.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan polis memberkas empat lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu semalam.
Menurut Ruzaina, mereka sekeluarga bersyukur dan berterima kasih dengan kecekapan polis menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dalam tempoh yang singkat.
"Adik yang periang dan menjadi harapan keluarga tiba-tiba menemui ajal akibat perbuatan kejam dan ganas mereka yang tidak berhati perut itu. Pembunuh itu tidak berperikemanusiaan kerana ketika saya lihat jenazah arwah sewaktu dimandikan, mukanya cedera teruk.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya tetapi masih sukar untuk menerima cara kematiannya yang begitu kejam," ceritanya ketika dihubungi semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan Rohani yang belum berkahwin menemui ajal akbat dicekik perompak. Mayatnya kemudiannya dibalut lalu diseret sebelum ditinggalkan di atas tangga selepas pembunuhnya terserempak dengan beberapa penghuni."Ambil sahajalah barang berharga, kenapa perlu membunuh?" katanya sayu.
No comments:
Post a Comment