Translate

Wednesday, December 3, 2008

Bersalah bunuh ah long

IPOH - Dua lelaki dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah didapati bersalah menyebabkan kematian seorang ah long pada 2004.

V. Hari Haran , 29, dan M. Kesavan, 27, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan berniat bersama menyebabkan kematian S. Albert Raja, 29, dengan seorang tertuduh lain, M. Ananthan di sebuah lombong tinggal di Batu 4, Batu Gajah dekat sini pada 21 Januari 2004 lalu.

Kedua-dua tertuduh dihukum mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Kesek- saan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda.

Sebelum ini, tertuduh pertama, Ananthan juga telah dijatuhi hukuman penjara 13 tahun atas kesalahan serupa oleh mahkamah sama pada Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, Ananthan telah meminta  Hari   Haran  dan Kesa- van mengikutnya untuk berjumpa dengan Albert Raja bagi membincangkan masalah hutangnya.

Setelah bertemu dengan mangsa di Jalan Kampar di sini pada kira-kira 7.10 petang, semua tertuduh terbabit telah bertindak menculik mangsa sebelum membawanya ke sebuah bekas lombong di Batu 4, Batu Gajah dekat sini dengan sebuah Proton Iswara Aeroback yang disewa.

Albert Raja kemudian dipukul dengan sebatang kayu oleh Ananthan sebelum dibawa pula ke sebuah rumah kosong berhampiran bekas lombong itu.

Semasa kejadian, Kesavan dan tertuduh pertama turut menendang mangsa hingga meninggal dunia sambil diperhatikan  Hari   Haran .

Monday, December 1, 2008

Beriani percuma untuk pelanggan BPA

IPOH – Mulai esok, orang ramai yang menemui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah di pejabat Biro Pengaduan Awam (BPA) di Putrajaya pada hari bertemu pelanggan akan dijamu dengan nasi beriani.

Murugiah berkata, hidangan percuma itu merupakan sebahagian daripada tanda terima kasih dan menghargai respons orang ramai terhadap biro tersebut yang kini semakin positif menerima pelbagai maklum balas.

“Sejak kebelakangan ini, saya bangga kerana semakin banyak aduan yang diterima BPA daripada rakyat bukan sahaja berhubung agensi kerajaan malah pihak swasta.

“Ini menunjukkan biro ini semakin dipercayai dan diyakini fungsinya. Oleh itu, pada setiap Selasa, kami akan sediakan nasi beriani sebagai hidangan tengah hari kepada pelanggan yang mengunjungi kami” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pemuda dan Wanita Parti Progresif Rakyat (PPP) yang turut dihadiri Pengerusi PPP Perak, Datuk Hey Ley di sini.

Sebelum itu, Murugiah mengumumkan hari bertemu pelanggan BPA yang akan dihadiri beliau sendiri ditukar daripada Jumaat kepada Selasa.

Katanya, ia bertujuan untuk menambahkan keberkesanan program tersebut kerana pada hari bertemu pelanggan sebelum ini, pegawai BPA beragama Islam tidak dapat melayani pelanggan pada waktu tengah hari kerana perlu menunaikan solat Jumaat

Pelawat Kota Belanda resah

Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PULAU PANGKOR  - Selain keindahan pantai dan hasil lautnya, Pulau  Pangkor  juga terkenal dengan khazanah sejarahnya termasuk  Kota   Belanda .

Kota tinggalan penjajah yang terletak di Kampung Teluk Gedung, selatan pulau peranginan itu merupakan antara destinasi yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong baik tempatan dan asing.

Namun, keadaan sebahagian anak tangga kayu  kota  berusia 328 tahun itu yang semakin uzur dan mereput membimbangkan pengunjung.

Seorang pelancong, Rohani Othman, 52, dari Melaka berkata, untuk ke  Kota   Belanda , pengunjung perlu menaiki anak tangga yang sebahagiannya diperbuat daripada kayu.

Beliau berkata, keadaan anak tangga itu agak uzur dan dikhuatiri tidak kukuh bagi menampung kehadiran pelawat yang agak ramai terutama pada musim cuti persekolahan.

"Sebenarnya ini adalah kali kedua kami sekeluarga ke  Kota   Belanda  ini setelah membuat kunjungan pertama kira-kira 10 tahun lalu.

"Tak sangka pula ia tak jauh berubah, anak tangga kayu sama masih digunakan cuma mungkin kerana faktor usia dan cuaca, ia semakin uzur dan sebahagiannya mula mereput," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Seorang lagi pelancong, Shamsiah Yaakob, 22, dari Putrajaya menggesa pihak berkenaan terutamanya Majlis Perbandaran Manjung mengambil tindakan segera sebelum kejadian tidak diingini terjadi.