KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam mengalami malang bertimpa-timpa apabila diperdaya tiga sindiket penipuan berbeza dalam tempoh kurang seminggu sehingga menyebabkan kerugian RM53,035.49.
Perkara itu berbongkar selepas lelaki berusia 48 tahun tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 4.29 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berminat untuk membeli sebuah kereta terpakai setelah melihat iklan mengenainya di laman Facebook pada 8 April lalu.
“Mangsa membuat bayaran keseluruhan berjumlah RM15,955.49 untuk membeli kenderaan tersebut menerusi enam transaksi ke dalam lima akaun bank yang diberikan oleh suspek tersebut.
“Bagaimanapun kenderaan yang dijanjikan tidak diterima menyebabkan dia yang tidak berpuas hati mencari khidmat perunding bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Azli berkata, pencariannya di laman Facebook membawa kepada perkenalan dengan seorang individu yang mengaku pegawai penyiasat jenayah komersial.
Katanya, mangsa seterusnya membuat bayaran RM7,280 bagi khidmat penyelesaian kes penipuan pembelian kereta kepada ‘pegawai penyiasat’ berkenaan.
“Dalam masa sama, mangsa turut memohon pinjaman wang (secara dalam talian) sebagai ikhtiar menyelesaikan masalah pembelian kereta. Kali ini dia melakukan 10 transaksi berjumlah RM29,800 ke dalam tiga bank seperti diarah suspek kononnya bagi kelulusan pinjaman,” katanya.
Azli berkata, penjawat awam itu hanya menyedari dia diperdaya dengan perkhidmatan perunding dan skim pembiayaan tersebut setelah membuat transaksi terakhir pada Isnin lalu.
Selain simpanan peribadi, sebahagian wang yang lesap tersebut dipinjam daripada ahli keluarganya.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment