SETIU – Pengusaha jentera berat kini mula merasai kesan kenaikan mendadak harga diesel yang kini menghampiri RM7 seliter dengan kos operasi meningkat lebih sekali ganda berbanding sebelum ini.
Kadar penggunaan diesel yang dahulu RM400 sehari kini telah melonjak kepada RM900 bagi tempoh sama. Seorang pengusaha jentera berat, Zau Hassan mendakwa, secara purata jentera beratnya memerlukan kira-kira 100 liter diesel sehari untuk beroperasi.
“Kenaikan harga diesel pada masa ini amat dirasai disebabkan bahan api merupakan antara komponen terbesar kos operasi jentera berat.
“Saya tiada pilihan selain menaikkan kadar sewaan daripada RM1,300 kepada RM1,800 sehari bagi jentera berat seperti jengkaut, jentolak serta mesin pembajak,” katanya di sini semalam.
Zau mendakwa, kenaikan kadar sewaan jentera berat tersebut dibimbangi akan memberi kesan domino terhadap sektor pembinaan dan pertanian yang banyak menggunakan perkhidmatan jentera berat.
Ujarnya, kenaikan kadar sewaan itu tidak dapat dielakkan bagi memastikan dia tidak mengalami kerugian ekoran kenaikan kos operasi tersebut.
Ismail Ishak, 55, pula mendakwa peraturan baharu mengehadkan maksimum 25 liter diesel bagi setiap pembelian menyukarkan pengusaha jentera berat.
“Had maksimum itu tidak mencukupi dan hanya satu perempat daripada penggunaan harian jentera berat. Peraturan melarang penggunaan bekas dalam pembelian diesel juga melecehkan,” dakwanya.
Ismail mendakwa, ia mengganggu secara tidak langsung mengganggu operasi seperti kerja-kerja penyelenggaraan selain bebanan kos yang tinggi.

No comments:
Post a Comment