Translate

Wednesday, April 29, 2026

Nelayan maut, dua bot fiber bertembung di muara

 

SETIU – Seorang nelayan yang keluar ke laut untuk memukat udang maut selepas bot yang dinaikinya bertembung dengan sebuah bot fiber lain dalam kejadian di muara Sungai Mangkok di sini semalam.

 Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Adli Zakaria, 53, meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam laut akibat pelanggaran bot berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Adli bersama rakannya berusia 55 tahun dalam perjalanan untuk memukat udang di perairan Setiu. 

“Sebaik tiba di muara Sungai Mangkok, bot fiber dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba gagal mengelak selepas bertembung dengan sebuah bot nelayan lain yang dalam perjalanan ke jeti berhampiran.

 “Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa (Mohd. Adli) yang sedang duduk di bahagian hadapan botnya hilang imbangan lalu terhantuk di bahagian dek sebelum tercampak ke dalam laut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Mohd. Zain berkata, rakan nelayan segera menyelamatkan Mohd. Adli sebelum membawanya naik semula ke atas bot fiber mereka. 

Beliau berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri segera dikejarkan ke Jeti Kampung Baru Penarik di sini. 

“Pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa (Mohd. Adli) telah meninggal dunia. “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Mohd. Zain berkata, setakat ini, kematian Mohd. Adli diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

 Beliau menasihatkan kalangan nelayan supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri sewaktu berada di laut.

No comments:

Post a Comment