Oleh MOHD AZLI ADLAN
SETIU – Seorang wanita warga emas bersyukur doa puluhan tahun untuk dijemput menjadi tetamu Allah termakbul apabila terpilih menunaikan ibadah haji bagi musim kali ini.
Zainab Mamat, 70, berkata, tambah manis, ini panggilan kedua selepas kali pertama pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan ekoran masalah kesihatan.
“Tahun lepas saya menangguhkan hasrat ke Tanah Suci apabila mengalami keuzuran sehingga memerlukan bantuan tongkat untuk berjalan.
“Alhamdulillah kesihatan saya kini bertambah baik,” katanya ketika ditemui di Binjai Manis di sini semalam.
Katanya, dia dijadual berangkat ke Tanah Suci bersendirian tanpa pengiring pada 25 April ini selepas suaminya, Awang Seman Awang Teh meninggal dunia dua tahun lalu.
Katanya, dia dan arwah suami mengumpul duit secukupnya untuk menunaikan haji sejak usia muda.
“Niat kami untuk ‘buat’ haji bersama-sama, namun apakan daya, Allah lebih sayangkan suami. “Arwah suami meninggal dunia sebelum kami sempat menerima tawaran daripada Tabung Haji,” katanya.
Zainab berkata, buat masa ini, dia berlatih berjalan kaki dua kali sehari di taman rekreasi berhampiran rumahnya bagi menjaga kesihatan dan mengekalkan stamina.
Katanya, aktiviti riadah itu sebagai persediaan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci dalam keadaan cergas dan sihat.

No comments:
Post a Comment