KUALA NERUS – Pas menggesa Dewan Rakyat agar segera mengadakan sidang khas bagi menangani gangguan ekonomi global yang sedang dirasai berikutan konflik Asia Barat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sidang khas Parlimen tersebut membolehkan semua wakil rakyat termasuk pembangkang menyumbang idea bersama-sama bagi menangani isu yang dilihat semakin menekan rakyat.
“Cadangan kita (Pas) adakan sidang khas Parlimen supaya semua pihak dapat berbincang dan memberi pandangan.
“Sepatutnya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengambil langkah demikian kerana kita berada dalam satu kapal (Malaysia) yang sama,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Terengganu, di sini semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5.
Abdul Hadi berkata, semua pihak termasuk pembangkang perlu dilibatkan bagi bersama-sama menangani krisis ekonomi global memandangkan impak negatifnya mula dirasai oleh seluruh rakyat.
Beliau menegaskan, perbezaan politik perlu diketepikan dalam mendepani isu ekonomi berkenaan. “Beban (penyelesaian krisis ekonomi global) tersebut tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi mencadangkan agar negara menjalinkan kerjasama serantau dengan negara-negara jiran seperti Indonesia bagi mengatasi krisis tenaga global tersebut.
Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia masing-masing mempunyai sumber minyak sendiri dan kerjasama erat diyakini mampu mengurangkan impak krisis tenaga yang disebabkan konflik Asia Barat.
Sebelum ini, Anwar memberitahu ketegangan berterusan di Asia Barat dijangka menjejaskan rantaian bekalan global, khususnya sektor tenaga, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan fasa pemulihan ekonomi akan mengambil masa panjang.

No comments:
Post a Comment