KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat mendadak melepast lebih 21,000 orang semalam ekoran hujan lebat berterusan melanda negeri ini sejak Selasa lalu.
Semua daerah kecuali Kuala Terengganu terjejas termasuk Kuala Nerus yang mula ditenggelami bah pada petang kelmarin.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 12 tengah hari, 21,863 mangsa daripada 6,184 keluarga berada di 226 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah terlibat.
"Besut kekal daerah paling terjejas dengan 10352 mangsa daripada 2,784 keluarga berada di 100 PPS. Sebanyak 4,451 mangsa daripada 1,244 keluarga pula ditempatkan di 46 PPS di Setiu. katanya di sini semalam.
Katanya, sebanyak 38 PPS yang menempatkan 4,136 mangsa daripada 1,319 keluarga berada di Hulu Terengganu.
Kemaman mempunyai 1481 mangsa daripada 438 keluarga di 17 PPS. Sebanyak 673 mangsa daripada 173 keluarga masih berlindung di sembilan PPS di Marang Sebanyak 15 PPS dibuka di Dungun menempatkan 699 mangsa daripada 208 keluarga," katanya.
Beliau berkata, Kuala Nerus mempunyai 71 mangsa daripada 18 keluarga yang berada di PPS Dewan Wakaf Catur Batu Rakit.
Sementara itu, jemaah Masjid Kampung Bukit Tadok, Telemong di Hulu Terengganu yang mengharungi banjir untuk ke masjid terpaksa mendirikan solat zuhur menggantikan solat Jumaat berikutan jemaah yang tidak mencukupi.
Masjid Kampung Bukit Tadok digunakan penduduk tiga kampung laitu jemaah dari Kampung Paloh Nyior, Kampung Pelam dan Kampung Tanah Lot, Bukit Tadok.
Banjir menyebabkan penduduk dari Kampung Paloh Nyior dan Kampung Pelam tidak dapat hadir untuk menunaikan solat Jumaat.

No comments:
Post a Comment