KUALA TERENGGANU – Lembangan sungai utama di Terengganu berada pada tahap terbaik, malah dianggap lebih bersih berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kebanyakan lembangan sungai tersebut mencapai Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas 1 iaitu bersih.
“Berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS), status IKA bagi sungai berkaitan berada dalam Kelas I.
“Hanya tiga stesen pemantauan di Sungai Terengganu dan Sungai Besut berada dalam Kelas II,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini semalam.
Beliau menjawab soalan Yusop Majid (Parti Pribumi Bersatu Malaysia-Permaisuri) berhubung kualiti air sungai di Terengganu.
Razali memaklumkan, IKA Kelas I menunjukkan kualiti air su ngai memenuhi keperluan sebagai sumber air mentah untuk bekalan air minuman melalui rawatan konvensional.
Ia juga sesuai bagi aktiviti rekreasi berasaskan air
. “Kerajaan Terengganu komited melaksanakan Dasar Pelepasan Sifar bagi mengawal beban pencemaran sungai.
“Kita juga melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi memastikan sumber air mencukupi selain mengekalkan keseimbangan ekosistem secara holistik,” kata beliau.
Razali berkata, Terengganu turut memperketatkan pematuhan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) yang bertujuan untuk mengawal hakisan tanah dan mendapan sedimen yang boleh menjejaskan kapasiti aliran sungai.
“Pewartaan rizab sungai turut menjadi keutamaan bagi melin dungi tebing daripada pencerobohan dan pembangunan tidak terkawal,” katanya.
No comments:
Post a Comment