Oleh MOHD AZLI ADLAN
DUNGUN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan kononnya Kerajaan Perpaduan mahu menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor bagi mengelak kekalahan sekiranya ia dilaksanakan pada masa terdekat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) tersebut berkata, tidak timbul soal penangguhan PRN kedua-dua negeri itu seperti didakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin memandangkan tarikh akhir pembubaran masih lama lagi.
Beliau berkata, Muhyiddin sendiri sewaktu menjadi Perdana Menteri sewaktu tempoh pandemik Covid-19 bukan sahaja menangguhkan pilihan raya dan menggantung Parlimen malah berniat mengisytihar darurat buat kali kedua.
“Dia (Muhyiddin) takut dengan keadaan tertentu pada masa itu tetapi kerajaan (Perpaduan) sekarang tidak pun timbul untuk tangguh PRN. Janganlah fikir apa dia buat, orang lain akan buat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan MRSM Dungun di sini hari ini.
Terdahulu Muhyiddin dipetik berkata, cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong agar PRN Melaka ditangguhkan bagi memberi tumpuan mengawal kenaikan kos sara hidup ekoran krisis Asia Barat sebagai petanda parti kerajaan takut mengalami kekalahan.
Ahmad Zahid berkata, cadangan penangguhan PRN tersebut adalah pendapat peribadi ahli parlimen terbabit bukannya pendirian kerajaan.
Beliau berkata, biarpun senario geopolitik di Asia Barat menjadi antara pertimbangan, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Johor tetap hak dan budi bicara Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Pemangku Sultan Johor serta Yang Dipertuan Agong. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment