KUALA TERENGGANU - Seorang pesara guru wanita yang cemas selepas digertak oleh sindiket penipuan dengan mengancam keselamatan anaknya sanggup membuat pembiayaan peribadi sebelum kerugian RM165,900.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, warga emas berusia 64 tahun itu yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kelmarin memaklumkan pada mulanya, dia telah dihubungi individu tidak dikenali pada 23 November tahun lalu.
“Suspek memperkenalkan diri kononnya pendakwa raya dan pegawai polis. Mangsa digertak kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Dia diarah untuk memohon pembiayaan peribadi sebanyak RM150,000. Keselamatan anakanaknya didakwa dalam bahaya jika arahan itu tidak dipatuhi,” katanya semalam.
Ujarnya, mangsa turut diarahkan menyerahkan amaun keseluruhan RM36,000 ke dalam akaun bank diberi suspek sebelum melunaskannya menerusi tiga transaksi ke dalam akaun bank diberikan.
“Permohonan pinjaman peribadi dibuat mangsa kemudiannya diluluskan dengan penerimaan RM130,000 ke dalam akaun banknya.
“Begitupun, dia kemudiannya mendapati RM129,900 daripada amaun tersebut telah dipindahkan ke tiga akaun bank tanpa pengetahuannya,” katanya.
Azli berkata, pemeriksaan dengan pihak bank mendapati transaksi itu dilakukan melalui pemindahan dalam talian secara berperingkat antara 30 Disember 2025 sehingga 15 Mac lalu.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment