Translate

Wednesday, September 4, 2024

Tauke air ketum Besut diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Hasrat seorang lelaki untuk mengaut keuntungan mudah dengan menjual 50 bungkusan mengandungi air ketum terbantut apabila dia diberkas polis di Kampung Pengkelan Nyireh di sini semalam.

Serbuan polis pada pukul 12.45 tengah hari itu berjaya menahan suspek berusia 42 tahun yang ketika itu berada dalam keadaan mencurigakan di dalam kawasan semak di belakang sebuah rumah di perkampungan berkenaan.

Timbalan Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pemeriksaan kemudiannya berjaya menjumpai 50 bungkusan air berwarna kehijauan dipercayai rebusan daun ketum.

“Setiap bungkusan air yang dirampas tersebut dianggarkan seberat 700 mililiter.

“Serbuan juga menjumpai 20 kilogram daun berwarna kehijauan disyaki daun ketum di dalam dua beg plastik berwarna oren,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azrol Anuar berkata, peralatan dapur yang disyaki digunakan untuk merebus air ketum turut dirampas.

Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan daun dan air ketum serta peralatannya dianggarkan bernilai RM1,850.

“Ujian air kencing suspek didapati negatif daripada pengaruh dadah dan dia direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment