Translate

Sunday, September 8, 2024

Pengendali katering rugi RM9,750 ditipu ‘pegawai bomba’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kerugian RM9,750 apabila menjadi mangsa penipuan ‘scammer’ menyamar pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur yang kononnya mahu menempah perkhidmatan katering terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya wanita berusia 33 tahun itu dihubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin lalu kononnya bagi tempahan perkhidmatan katering untuk majlis penutup sambutan Hari Kebangsaan peringkat akademi terbabit.

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek yang mengaku wakil Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur.

“Dia bersetuju untuk menerima tawaran tersebut sebelum diminta untuk menghubungi kenalan suspek kononnya bagi membincangkan urusan penyediaan goodies (buah tangan untuk tetamu) pula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, kenalan suspek yang dihubungi itu kemudiannya meminta peniaga terbabit membayar RM9,750 kononnya bagi penyediaan barangan untuk buah tangan tetamu berkenaan.

Tambah beliau, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah melakukan transaksi dengan memindahkan wang diminta ke akaun bank diarahkan suspek kedua.

“Begitupun apabila mangsa mahu menghubungi semula suspek pertama yang mengaku sebagai wakil Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur terbabit, panggilannya telah disekat.

“Dia hanya menyedari tertipu yang tawaran perkhidmatan katering itu sebenarnya tidak wujud apabila melakukan semakan dengan pejabat Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur yang terletak di Wakaf Tapai, Marang,” katanya.

Azli berkata, wanita itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada kelmarin. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment