Translate

Thursday, September 5, 2024

Penyelam APMM jejak lokasi bot candat karam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa masih hilang dalam insiden sewaktu mencandat sotong pada Ahad lalu yang masuk hari ketiga hari ini memberi tumpuan menjejak lokasi bot tersebut karam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, seramai sembilan anggota Skuadron Selam Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia (APMM) telah digerakkan untuk melakukan selaman di dasar laut.

“Selaman dilakukan bagi menjejak lokasi terkini bot yang karam akibat dirempuh tongkang.

“Ia sebahagian usaha untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang,” katanya di Kuala Kemaman di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan dua maut manakala dua masih hilang setelah dinaiki mereka untuk aktiviti mencandat sotong dan memancing dirempuh sebuah tongkang pada kedudukan 15 kilometer dari perairan Kuala Kemaman.

Dua mangsa yang maut dalam insiden pada pukul 6.30 pagi itu disahkan sebagai Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong bot, Shahril Ismail, 50, ditemui kelmarin.

Dua lagi mangsa iaitu Aina Husna dan Yusof Kassam, 66, pula masih hilang manakala lima lain termasuk ibu dan kakak Aina Husna terselamat dengan berpaut pada tong ikan selama hampir dua jam.

Ariffin berkata, sektor pencarian juga telah diperluas sehingga 215.28 kilometer (km) hingga ke perairan Kuala Terengganu menggunakan lima aset termasuk Kapal Maritim (KM) Tok Bali.

Beliau berkata, pemantauan udara, juga telah diperbesarkan sehingga 538.93 km
melibatkan pesawat Bombardier CL415MP milik APMM dan helikopter AW139 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment