KEMAMAN – Selaman Skuadron Selam Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia (APMM) hari ini gagal menemukan bangkai bot yang karam selepas dirempuh tongkang pada Ahad lalu.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Leftenan Maritim Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata, pencarian dilakukan oleh sembilan penyelam di tiga sektor masing-masing seluas 40 meter persegi.
“Pencarian di sektor-sektor dikenal pasti seluas 120 meter persegi tidak menemukan bangkai bot yang dicari.
“Selain itu, pencarian menggunakan aset air dan udara yang menjangkau seluruh perairan Terengganu hari ini juga gagal memperoleh apa-apa petunjuk,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Kemaman di sini hari ini.
Muhammad Faisal tidak menolak kemungkinan bot candat sotong yang karam itu telah dihanyutkan arus.
Jelas beliau, ia disebabkan arus di dasar laut pada hari kejadian agak deras.
“Operasi mencari pada skala besar dijangka ditamatkan jika tiada petunjuk baharu pada pukul 7 malam ini. Begitupun, APMM akan meneruskan pencarian dua mangsa hilang dalam skala kecil mulai esok,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Aina Husna Muhammad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66, dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dirempuh tongkang pada pukul 6.30 pagi kelmarin.
Insiden itu turut mengorbankan kenalan keluarga Aina Husna, Siti Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong bot, Shahril Ismail, 50, sewaktu mereka mengikuti trip mencandat sotong pada kedudukan 15 kilometer dari perairan Kemaman. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment