Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Demi menjaga ibu bapa yang semakin uzur, empat adik beradik berusia 32 dan 42 tahun sanggup melupakan sementara impian untuk mendirikan rumah tangga dan memiliki keluarga sendiri.
Rosmawati Ngah, 42, berkata, dia dan tiga adiknya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bapa mereka, Ngah Embong, 70, yang menderita sakit buah pinggang dan gout kronik sejak 20 tahun lalu.
Ibu mereka, Fatimah Chik, 66, pula terlantar berikutan tulang belakangnya patah selepas tergelincir di kandang lembu sejak setahun lalu. Tiga adik Rosmawati ialah Muhammad Adam, 32, Muhamad Rosli, 35, dan Rozila, 38.
“Tanggungjawab kami bertambah apabila ibu pula uzur sejak lebih setahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Tepoh di sini baru-baru ini.
Rosmawati memberitahu, adik bongsunya, Muhammad Adam memilih untuk tidak bekerja bagi menguruskan orang tua mereka sepenuh masa di rumah.
Rosmawati dan Rozila yang bekerja di kedai buku dan kedai serbaneka pula akan menjaga ibu bapa mereka sebaik habis syif kerja.
Muhamad Rosli menjaga bapa sekiranya tiada tugasan sebagai tukang rumah.
“Itulah rutin kami sejak puluhan tahun sehingga tiada masa memikirkan soal berumah tangga buat masa ini,” katanya.
Rosmawati memberitahu, kos perubatan dan ambulans untuk menghantar ibunya menjalani rawatan susulan ke hospital setiap bulan mencecah RM2,300.
Setakat ini bapa mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan.
Sehubungan itu, Rosmawati merayu ihsan pihak berkaitan dan orang ramai untuk membantu meringankan beban mereka adik-beradik.
Orang ramai yang bersimpati boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 11001-41-00003065-3 atas nama Fatimah atau menghubungi Rosmawati di talian 011-2177 7752.
No comments:
Post a Comment