Translate

Monday, September 30, 2024

KPDN perluas Program Jualan Rahmah Madani ke pasar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal diperluaskan ke pasar-pasar basah terpilih seluruh negara mulai bulan depan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, penganjuran PJRM di pasar basah itu bertujuan bagi membolehkan lebih ramai pengguna menikmati manfaat penjimatan harga barangan keperluan ditawarkan.

Beliau berkata, ia juga bagi menambah lagi jenis barangan keperluan yang boleh ditawarkan kepada pengguna menerusi PJRM@Pasar.

“Pelaksanaan PJRM@Pasar ini merupakan satu lagi bentuk intervensi kerajaan dalam membantu menangani isu kos sara hidup rakyat.

“Ia dilakukan secara bersasar mengikut keperluan semasa ini bagi memastikan ia tidak mendatangkan implikasi gangguan atau herotan kepada pasaran,” katanya di Surau Al-Iman, Kampung Losong Panglima Perang di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas memantau perjalanan PJRM peringkat Terengganu.

Armizan berkata, pemilihan lokasi PJRM@Pasar mengambil kira beberapa faktor seperti berlaku kenaikan signifikan, gangguan bekalan disebabkan faktor cuaca dan kos pengangkutan tinggi sehingga mempengaruhi harga barang keperluan.

Beliau menambah, KPDN akan melakukan pemantauan terhadap pergerakan harga barang dan aduan orang awam di kawasan terlibat sebelum menganjurkan PJRM@Pasar. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment