Translate

Monday, September 2, 2024

25,181 peluang pekerjaan Karnival Kerjaya MyFutureJobs Terengganu diisi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lebih 80 peratus peluang pekerjaan yang ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya MyFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu sejak tahun 2020, berjaya diisi pencari kerja negeri itu.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, sebanyak 25,181 daripada kira-kira 30,000 penempatan pekerja yang ditawarkan menerusi karnival berkenaan berjaya dipadankan sepanjang tempoh tersebut.

“Peluang kerja ditawarkan merangkumi pembantu am hingga kumpulan profesional dan berkemahiran tinggi dengan gaji maksimum mencecah RM6,000 sebulan.

“Berdasarkan perangkaan portal MyFutureJobs Perkeso, setakat ini masih terdapat 1,755 kekosongan jawatan yang masih aktif di Terengganu,” katanya selepas memantau Karnival Kerjaya MyFutureJobs peringkat Terengganu, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Farihah memberitahu, karnival kerjaya terbaharu selama dua hari yang berakhir semalam tersebut menawarkan 4,300 peluang pekerjaan melibatkan 65 majikan.

Beliau berkata, antara majikan terlibat ialah Terengganu Silica Malaysia, Sogo KL, Hospital Pakar Salam, Malaysia Rail Link dan Puspakom Sdn. Bhd.

“Buat julung kalinya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyertai Karnival Kerjaya MyFutureJobs. TUDM menawarkan 700 penempatan sebagai Perajurit Muda bagi belia berusia 18 hingga 25 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment