DUNGUN – Hospital Dungun yang memiliki kemudahan 110 katil pesakit akan memulakan operasi secara rasmi pada 1 Oktober depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Hospital Dungun yang siap sepenuhnya pada 25 Jun lalu akan berfungsi sebagai hospital pakar minor.
Beliau berkata, ia menawarkan 11 bidang kepakaran seperti pediatrik, obstetrik dan ginekologi, ortopedik, anestesiologi, radiologi, psikiatri dan pergigian.
“Bangunan lama Hospital Dungun (di Jalan Paka) akan terus beroperasi menjadikan kapasiti katil pesakit meningkat kepada 218 buah.
“Secara keseluruhan Hospital Dungun akan memiliki empat dewan bedah dan enam katil ICU (unit rawatan rapi),” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan Hospital Dungun di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, pertambahan kemudahan dan bidang kepakaran tersebut akan mengurangkan rujukan pesakit ke hospital pakar lain iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Kemaman.
elas beliau, sebelum ini, ramai pesakit daerah ini perlu bergerak jauh ke Kemaman dan Kuala Terengganu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan pakar.
“Masa menunggu pesakit untuk mendapatkan janji temu dengan klinik pakar di Hospital Dungun juga dapat dikurangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment