Translate

Friday, September 6, 2024

Hati dah ada tapi duit bedah pula tak cukup

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perasaan sedih menyelubungi hati seorang ibu setiap kali melihat bayi lelakinya yang baru berusia 14 bulan menangis dan menahan kesakitan akibat penyakit biliary atresia atau saluran hempedu tersumbat.

Wan Suzilawati Wan Shamsudddin, 43, berkata, penyakit itu menyebabkan berat badan Muhammad Mikhail Iman Jamil yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik susut mendadak selain perutnya yang agak membengkak.

Katanya, anaknya itu dilahirkan sebagai bayi pra matang iaitu berusia 33 minggu dan doktor sudah mengesyaki Muhammad Mikhail menghidap masalah hempedu.

“Simptom-simptom penyakit saluran hempedu tersumbat mula kelihatan sehingga menjejaskan fungsi hatinya sewaktu berusia dua bulan.

“Ini menyebabkan anak saya perlu menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru, Kelantan,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit di sini baru-baru ini.

Wan Suzilawati menjelaskan, pembedahan itu bagaimanapun tidak berjaya dan tahap kesihatan anaknya menjadi serius.

Jelasnya, fungsi hati Muhammad Mikhail semakin merosot sehingga doktor mencadangkan agar pembedahan dilakukan segera.

“Sebagai ibu, saya bersedia mendermakan sebahagian hati untuk anak saya (Muhammad Mikhail Iman) asalkan dia dapat sembuh semula.

“Begitupun paling merisaukan apabila kami tidak mampu membiayai kos pembedahan pemindahan hati yang dianggarkan berjumlah RM100,000,” katanya.

Wan Suzilawati berkata, mereka tidak mampu memandangkan suaminya, Jamil Yusof, 45, hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,000 sebulan selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan.

Katanya, banyak duit telah dibelanjakan untuk kos perubatan Muhammad Mikhail Iman sebelum ini sehingga menjejaskan urusan harian keluarganya.

“Kami sudah hilang upaya kewangan sehingga dua kakak Mikhail iaitu Nurul Nufadila, 14, dan Nurul Nurlaila, 16, terpaksa diberhentikan sekolah baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Wan Suzilawati bernombor 1110229000193561 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 01112923545.

No comments:

Post a Comment