Translate

Saturday, June 21, 2014

Mangsa hilang mungkin telah larikan diri

KUALA LANGAT - Polis tidak menolak kemungkinan kebanyakan mangsa tongkang karam yang masih dilaporkan hilang telah berjaya menyelamatkan diri memandangkan lokasi tragedi tidak jauh dari daratan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, berdasarkan pengalaman kes-kes lalu, selain berjaya berenang ke daratan, mangsa berkemungkinan diselamatkan nelayan atau kru kapal dagang yang berada tidak jauh dari lokasi  kejadian.

"Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diselamatkan biasanya akan menghilang diri sebaik sahaja di selamatkan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa memandangkan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau pun pas lawatan telah tamat tempoh.

"Sehubungan itu, kita sedang mengenalpasti individu yang masih dilaporkan hilang termasuk mendapat kerjasama daripada penduduk tempatan yang mungkin mengenali mereka," katanya pada sidang akhbar di Pusat Mencari dan Menyelamat Jeti Nelayan Kelanang dekat sini semalam.

Azman memberi amaran kepada penduduk tempatan agar tidak melindungi PATI Indonesia yang terselamat kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah merangka pelan komprehensif untuk mengekang aktiviti PATI menyusup keluar dari negara ini melalui perairan daerah tersebut.

"Kita sedia maklum perairan di sekitar Kuala Langat merupakan laluan tikus untuk PATI terutama Indonesia menyusup keluar secara haram dari negara ini terutama ketika menjelang Ramadan dan Syawal .

"Malah sejak awal tahun ini, kita telah berjaya mematahkan banyak kes samada penyeludupan manusia ataupun barang dari laluan-laluan tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment