Translate

Tuesday, June 3, 2014

Polis Marin rampas diesel bersubsidi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN KLANG - Cubaan sebuah sindiket untuk menyeludup 50,000 liter  diesel  bersubsidi menggunakan jalan laut berjaya dipatahkan Pasukan  Polis   Marin  (PPM) di perairan  Tanjung   Harapan  dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, sepasukan anggota PPM yang sedang melakukan rondaan di perairan tersebut telah bertindak menahan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah  Marin  Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan  diesel  yang bernilai RM100,000.

"Pemilik bot berkenaan gagal menunjukkan dokumen daripada pihak berwajib berkenaan kebenaran membawa dan memiliki  diesel  berkenaan.

"Oleh itu, tindakan merampas bahan api berkenaan bersama bot yang dianggarkan bernilai RM250,000 telah dilakukan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Norzaid berkata, tiga lelaki warga Indonesia yang merupakan jurukemudi dan awak-awak bot tersebut berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun turut diberkas kerana disyaki anggota sindiket penyeludupan  diesel  bersubsidi berkenaan.

Menurut beliau, bot terbabit turut disita di Pangkalan  Marin  Pelabuhan Klang manakala muatan  diesel  terbabit telah diserahkan kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

No comments:

Post a Comment