Translate

Tuesday, June 17, 2014

Askar baru empat bulan kahwin maut kemalangan

SHAH ALAM - Seorang anggota tentera yang baru empat bulan melangsungkan perkahwinan maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dipercayai langgar lari di Kilometer 3.3 Lebuh Raya Koridor Gutrie berhampiran Bukit Jelutong di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, Mohammad Amierul Abidin, 22, yang berpangkat Prebet dalam perjalanan dari Sungai Buloh dekat sini ke pejabatnya di Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Shah Alam, Deputi Superitenden Goh Lee Shen berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 Z gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas di tempat kejadian.

“Dia yang tercampak di kemudiannya digilis oleh sebuah kenderaan lain yang masih belum dapat dikenal pasti.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selain patah kedua-dua kaki dan paha kiri,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Lee Shen berkata, jenazah mangsa telah di bawa ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk di bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Perlis.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kemalangan tersebut diminta tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment