Translate

Friday, June 27, 2014

Jangan kacau kawasan tadahan air

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA SELANGOR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan menara talian penghantaran elektrik di Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong, Pahang diingatkan agar tidak mengganggu kawasan tadahan air.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia merupakan antara prasyarat penting yang digariskan pihak berkuasa bagi membenarkan projek sejauh 20 kilometer (km) itu dilakukan di hutan simpan berkenaan.
“Setakat ini kita dapati tiada pelanggaran syarat dilakukan TNB terhadap projek tersebut. Pemantauan mendapati tapak pembinaan menara talian penghantaran elektrik itu dilakukan di luar kawasan tadahan air.
“Kawasan tersebut juga memang lokasi pengeluaran balak yang dikendalikan agensi kerajaan negeri Pahang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di kilang pengeluaran palet bahan bakar biomas Detik Aturan Sdn. Bhd. di Sungai Gulang-Gulang di sini semalam.
Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam tentang desakan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) agar aktiviti penerokaan dan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong dihentikan serta-merta dan mereka mahu pakar-pakar mengkaji semula sama ada projek pembinaan menara talian penghantaran TNB sesuai dilaksanakan di kawasan hutan itu.

Setiausaha Peka, Bazlinda Bahrin berkata, pihaknya khuatir projek yang bakal merentas laluan sepanjang 20km dan bukaan selebar 100 meter itu akan menyebabkan masalah perubahan mikro cuaca persekitaran serta pencemaran air dan tanah.

 Mahdzir  berkata, TNB telah diberi kebenaran oleh kerajaan negeri Pahang untuk menggunakan sebahagian daripada Hutan Simpan Kekal  Lentang  bagi membina dua menara talian penghantaran elektrik.

Menurut beliau, menara talian penghantaran elektrik yang bermula dari selatan Bentong, Pahang itu masing-masing membekalkan bekalan elektrik berkapasiti tinggi ke Lenggeng, Negeri Sembilan dan timur Ampang, Selangor.

"Lokasi itu dipilih berikutan kedudukannya yang strategik, sesuai dengan keperluan tenaga elektrik negara" katanya.

No comments:

Post a Comment