Translate

Tuesday, June 24, 2014

Tinjau tempat peti simpanan wang sebelum merompak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Kelibat, La Ode Ardi Rasila dilihat mencurigakan apabila meninjau kawasan menempatkan peti simpanan wang di premis Ambank cawangan USJ kira-kira 18 minit sebelum pegawai bank itu, Norazita Abu Talib, mati ditembak.

Bekas pengurus cawangan bank berkenaan, Lyonel Tan Ooi Koong, 30, yang merupakan saksi kedua pendakwaan dalam keterangannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akthar Tahir berkata, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kemudian menunjukkan Norazita, 37, dan rakan setugasnya, Arzanna Abdullah membawa karung yang mengandungi duit untuk dimasukkan ke dalam peti simpanan berkenaan pada pukul 6.18 petang.

"Sejurus itu, CCTV menunjukkan satu das tembakan yang dilepaskan terkena kepala Norazita. Tertuduh kemudian dilihat menolak Arzanna sebelum memasukkan duit yang terdapat di dalam peti simpanan tersebut ke dalam sebuah beg.

"Satu CCTV lain pula menunjukkan tertuduh telah melarikan diri bersama beg berkenaan," katanya ketika disoal Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd. Azari Harun pada hari pertama perbicaraan kes pembunuhan tersebut semalam.
Ooi Koong berkata, perbuatan La Ode berada di kawasan peti penyimpanan wang melanggar prosedur operasi standard yang diamalkan oleh seorang pengawal keselamatan bank.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengurus Cawangan Ambank Sri Petaling sejak 1 April lalu berkata, selain Norazita dan beliau, empat kakitangan lain bertugas di premis bank tersebut semasa kejadian termasuk tertuduh yang merupakan seorang pengawal keselamatan yang dibekalkan syarikat keselamatan, Kawalan Prima Sdn. Bhd.
La Ode menghadapi dua pertuduhan iaitu membunuh dan melepaskan tembakan terhadap Norazita di premis AmBank cawangan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara pukul 6 petang dan pukul 6.30 petang 23 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan membunuh Norazita, tertuduh yang berasal dari Sulawesi, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

La Ode yang diwakili peguam S. Selvi turut menghadapi pertuduhan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan pump gun dengan niat untuk menyebabkan kematian ke atas mangsa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 yang juga memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kejadian pada 23 Oktober lalu, Norazita yang merupakan pegawai di bank berkenaan maut akibat kecederaan di kepala setelah ditembak seorang pengawal keselamatan ketika membuka peti besi di bilik kebal bank tersebut.

Pengawal keselamatan itu kemudian melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM450,000 sebelum ditangkap polis selepas 19 hari bersembunyi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada 10 November lalu.

Perbicaraan hari kedua bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment