SHAH ALAM - Seorang pengurus agensi pekerja asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh bayi lelaki pembantu rumah Indonesia pada akhir bulan lalu.
Tertuduh, Wong Weng Yew , 41, didakwa menyebabkan kematian Esman Zues Yues, 6 bulan antara 28 Mei dan 31 Mei lalu di rumahnya di Taman Cannal, Kota Kemuning di sini.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Weng Yew yang hanya mengangguk faham ketika pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin.
Tertuduh yang juga majikan ibu bayi terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid manakala tertuduh yang merupakan bapa kepada enam anak termasuk lima anak tiri tidak diwakili peguam.
Norshakinah kemudian tidak membenarkan tertuduh dijamin selain menetapkan 14 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kosmo! pada 5 Jun lalu melaporkan mengenai tanda tanya kehilangan bayi lelaki berusia enam bulan yang merupakan anak kepada seorang pembantu rumah warga Indonesia selama lima hari akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam gaung di Kilometer 3.2, Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang.
Ekoran penemuan itu, majikan wanita Indonesia terbabit ditahan selepas dipercayai bertanggungjawab membuang mayat bayi tersebut ke dalam gaung yang terletak kira-kira 48 meter dari jalan raya.
Walaupun pembantu rumah tersebut mendakwa menjadi mangsa penderaan seksual sehingga melahirkan bayi berkenaan, namun siasatan polis kemudiannya mendapati bayi itu merupakan anak tidak sah taraf hasil hubungan sulit wanita terbabit dengan seorang lelaki warga Bangladesh.
No comments:
Post a Comment