Translate

Wednesday, June 4, 2014

Polis kesan ah long guna pelajar gantung iklan pinjaman

SHAH ALAM - Polis melahirkan kebimbangan terhadap modus operandi sindiket pinjaman wang haram, ah long yang mengeksploitasi golongan pelajar untuk menggantung dan mengedar risalah serta  poster  aktiviti haram mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Pin berkata, penglibatan golongan remaja yang bekerja secara sambilan dengan sindiket ah long terbabit dilihat semakin berleluasa pada musim cuti persekolahan ini.

"Perbuatan remaja tersebut mengedar dan menggantung risalah serta  poster  itu boleh dianggap membantu perniagaan wang haram tersebut dan ia salah di sisi undang-undang.

"Ekoran itu, ibu bapa dinasihatkan supaya memantau aktiviti anak-anak mereka terutama pada musim cuti persekolahan ini agar tidak terjebak dengan sindiket ah long," katanya ketika mengetuai operasi menurunkan  poster  dan risalah berkaitan ah long di sekitar  Taman   Sri   Muda  di sini semalam.

Operasi bersepadu tersebut melibatkan lebih 100 anggota polis, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Mun Pin berkata, individu termasuk remaja yang terlibat membantu aktiviti haram sindiket ah Long seperti menggantung dan mengedar  poster  serta risalah boleh didakwa mengikut Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment