azli.adlan@yahoo.com
KLANG – Kerajaan Selangor membayangkan pelan catuan bekalan air kepada penduduk Lembah Klang yang berlarutan hampir dua bulan lalu akan ditamatkan seawal minggu depan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, ia berikutan projek mengepam air bekas lombong di sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor yang dijalankan sejak Ahad lalu menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, setakat ini, empat mesin pam berkapasiti tinggi telah digunakan untuk mengepam sumber air dari bekas lombong dan lima lagi mesin pam akan tiba hari ini.
“Sembilan pam ini berkeupayaan menyedut air sebanyak 400 juta liter sehari yang kemudian dialirkan ke Sungai Selangor bagi meningkatkan paras sungai itu.
“Langkah ini membolehkan lima loji rawatan air (LRA) yang di Lembangan Sungai Selangor beroperasi sekali gus membekalkan air bersih kepada penduduk Lembah Klang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Lima LRA itu ialah Rasa, Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 yang membekalkan lebih 60 peratus air bersih kepada penduduk.
Abdul Khalid memberitahu, pelan pemulihan bekalan air bersih tahap kedua tersebut disasarkan untuk mengepam sumber air lombong sehingga 900 juta liter sehari.
"Jika usaha ini berjalan lancar, pelan catuan air boleh ditamatkan minggu depan," ujarnya.
Kata Abdul Khalid , pengguna tidak perlu bimbang tentang penggunaan sumber air bekas lombong kerana pakar termasuk dari Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan mendapati paras mineral di dalamnya berada pada paras dibenarkan.
Baru-baru ini, kerajaan negeri dilaporkan akan meneruskan catuan bekalan air selama 161 hari lagi di Lembah Klang sebagai persediaan menghadapi musim kering yang dijangka bermula Mei hingga September depan.
No comments:
Post a Comment