berita@kosmo.com.my
KLANG – Debaran hati seorang kakak menanti ketibaan adiknya yang tidak muncul-muncul di destinasi yang dijanjikan terjawab apabila peniaga itu ditemui terkorban bersama isteri dan bayinya selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Haji Abdul Manan berhampiran Aman Perdana, Kapar di sini malam kelmarin.
Dalam tragedi pada pukul 9.21 malam itu, Siti Nur Fezrieca Saila Mohd. Yazid, 31, hanya mampu menahan sebak menyaksikan mayat adik keduanya, Ezwan Shah, 27, isteri Farah Natahsya Fadzly, 18, dan bayi mereka yang berusia lapan bulan, Nur Ezzara Lemani terkujur di sisi kereta Proton Satria dinaiki tiga beranak itu.
Anak Siti Nur Fezrieca, Nur Adliana Saiful Adli, 13, yang turut berada di dalam kereta dipandu Ezwan Shah hanya cedera.
Turut cedera, pasangan tunang, Mohd. Nazarul Mohd. Saifolalam, 24, dan Zahriah Ab. Jalil, 23, yang menaiki kereta Honda Accord serta seorang warga emas, Kamil Kalid Ariff, 60, yang menaiki kereta Toyota Camry.
Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini namun usaha Kosmo! menemu bual seorang mangsa, Zahriah gagal kerana dia enggan ditemui. Difahamkan Zahriah patah tangan kiri.
Sebelum kejadian, Siti Nur Fezrieca, anak sulung daripada tiga beradik berkata, dia dan Ezwan Shah berjanji untuk menziarah adik bongsu mereka, Fatin Syamimi, 22, di Jalan Kopi, Kapar dekat sini.
"Selepas mereka gagal dihubungi, saya mengambil keputusan untuk mencari mereka.
"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, hati saya berdebar-debar kerana ternampak kereta adik lelaki saya terlibat dalam kemalangan.
"Mayat Ezwan Shah, Farah Natahsya dan Nur Ezzara Lemani sudah dikeluarkan dari kereta," ceritanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HTAR di sini semalam.
Jarak lokasi kejadian di persimpangan lampu isyarat Aman Perdana dengan rumah Fatin Syamimi kira-kira enam kilometer.
Bercerita lanjut, Siti Nur Fezrieca memberitahu, dia perasan, Ezwan Shah sejak kebelakangan ini berubah sikap apabila sering bercerita tentang kematian.
"Ezwan Shah pernah berpesan agar disemadikan di sebelah kubur allahyarham bapa yang meninggal dunia 22 Januari lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budiman, Meru dekat sini," katanya.
Jenazah Ezwan Shah dan anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budiman, Meru di sini manakala jenazah isterinya dituntut oleh keluarga untuk dikebumikan di kampungnya di Chenor, Pahang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kemalangan melibatkan empat kenderaan itu berpunca selepas kereta Proton Satria dipandu Ezwan Shah dan Honda Accord dipandu Mohd. Nazarul bergesel semasa sendiri sewaktu melalui Jalan Haji Manan dari Klang Sentral.
Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, kereta Honda Accord terbabas ke dalam belukar bersebelahan manakala kereta dipandu Ezwan Shah terbabas ke laluan bertentangan.
"Kemudiannya, kereta Proton Satria tersebut merempuh dua kereta lain iaitu Toyota Camry yang dipandu Kamil Kalid dan Proton Saga BLM," kata beliau.
Pemandu Proton Saga BLM yang tidak dikenal pasti tidak cedera.
No comments:
Post a Comment