Translate

Wednesday, April 16, 2014

Galeri Drive 7 ketengah produk Mutiara Motors

SHAH ALAM - Sebuah Galeri Drive 7 yang menjual produk syarikat automotif, Kumpulan Mutiara Motors di buka di pusat beli-belah, Plaza Alam Sentral di sini baru-baru ini.

Pengarah Urusan Superfly Power Resources, Ruzaimah Miskam berkata, antara produk jenama Drive yang terdapat di dalam galeri tersebut ialah pakaian, minyak pelincir, pelekat kenderaan, rantai kunci dan minuman tenaga, Drive M7.

“Superfly Power Resources diberi hak untuk memasarkan kesemua produk berjenama Drive 7 keluaran Kumpulan Mutiara Motors terutama barangan cenderamata dan minuman Drive M7.

“Galeri Drive 7 ini bukan sahaja pertama di dalam sebuah pusat membeli-belah malah ia julung-julung kali dikendalikan sendiri oleh syarikat lain selain pengurusan Mutiara Motors,” katanya selepas menyaksikan perasmian Galeri Drive 7 di Plaza Alam Sentral di sini baru-baru ini.

Terdahulu majlis perasmian galeri seluas 76.2 meter itu disempurnakan Duta Drive M7, Mohd. Nadzri Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai pelawak Jepp Sepahtu.

Buat masa ini, Kumpulan Mutiara Motors telah membuka dua galeri jualan produk keluarannya di Bangsar, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor.

Ruzaimah yang turut aktif dalam sukan permotoran berkuasa tinggi menyasar Galeri Drive 7 berkenaan mencapai jualan sebanyak RM60,000 sebulan.

Menurut beliau, sebahagian besar hasil jualan itu bakal dijana oleh minuman Drive 7 berikutan permintaan tinggi terhadap produk itu terutama dalam kalangan peminat sukan pemotoran.

“Selain boleh didapati di galeri tersebut dengan harga RM3.50 setin atau RM10 untuk tiga tin, saya merancang untuk memasarkan produk minuman tenaga yang semakin popular itu menerusi beberapa mesin layan diri yang akan diletakkan di beberapa lokasi strategik di pusat membeli-belah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment