azli.adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM - Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurliza Abdullah tidak menolak kemungkinan kematian pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter Abdullah kira-kira dua tahun lalu berpunca daripada kekurangan oksigen.
Nurliza, 49, saksi pendakwaan ke-13 dalam keterangannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman berkata, faktor itu tidak boleh dikecualikan sebagai antara punca kematian berdasarkan proses bedah siasat yang dilakukannya ke atas kedua-dua mayat itu pada 12 Mac 2012.
"Berdasarkan bedah siasat, tiada kesan kecederaan nyata ke atas mayat Zara Elena, 23, dan Omar Peter, 57. Oleh itu, saya telah mengecualikan luka tembakan, tikaman, tetakan dan hirisan sebagai punca kematian.
"Begitupun, saya tidak boleh mengecualikan kesan kecederaan kurang jelas seperti kesan lebam, lecet, kekurangan oksigen dan seumpamanya," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kem pembunuhan itu semalam.
Saksi itu yang dipanggil memberi keterangan pada hari kelapan berkata, kesan lebam, lecet dan kekurangan oksigen tidak dapat dikesan secara fizikal sewaktu dibedah siasat dilakukan kerana mayat kedua-dua mangsa telah bertukar kepada warna hijau kehitaman akibat proses pembusukan dan pereputan.
Pakar itu merumuskan punca kematian Zara Elena dan bapanya yang dianggarkan telah meninggal dunia antara tiga hingga empat hari sebelum dibedah siasat tidak boleh ditentukan secara konklusif.
Seramai empat tertuduh, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, didakwa membunuh Zara Eleena dan Omar Peter.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah nombor 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, antara pukul 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012.
Mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh pesara syarikat kewangan, Omar Peter di tempat sama, antara pukul 11.30 malam 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya.
Perbicaraan hari kesembilan bersambung hari ini.
No comments:
Post a Comment