Translate

Sunday, April 13, 2014

Bapa Puspanathan tidak berhasrat ke Australia

KUALA   LANGAT  - Bapa kepada salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS)  MH370 , G. Supramaniam tidak berhasrat untuk pergi ke Australia selagi anaknya itu belum ditemui.

Supramaniam, 60, merupakan bapa kepada, S. Puspanathan, 34.

Menurutnya, walaupun sedih sebaik mengetahui mengenai pesawat  MH370  yang dilaporkan terhempas di Lautan Hindi, dia menerima apa jua nasib anak sulung daripada dua beradik itu.

"Saya bagaimanapun tidak berhasrat ke Australia. Tidak guna saya pergi ke Australia, kecuali mereka jumpa anak saya baru saya mahu pergi," katanya.

Sementara itu, ibu kepada penumpang, Muzi Yusop, 50, Saimah Sidek, 70, pula memberitahu, dia mengetahui mengenai berita itu ketika menonton sidang akhbar khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disiarkan secara langsung di televisyen malam kelmarin.

"Sudah jadi macam ini, saya terima dan reda saja. Kami akan teruskan bacaan surah Yasin yang dibaca sejak hari pertama kami mendapat berita tersebut," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga akan berbincang dengan adik-beradik bagi tindakan seterusnya sama ada untuk mengadakan tahlil ataupun solat jenazah ghaib.

Sementara itu, suaminya, Yusop Tahir, 76, yang dilihat tenang dan sempat melemparkan senyuman ketika melihat kelibat pemberita tiba-tiba berubah menangis teresak-esak.

Difahamkan, Yusop yang mempunyai masalah pendengaran sebelum itu tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku, namun sebaik diberitahu oleh abang iparnya perkara yang sebenar, dia dilihat mengalirkan airmata.

No comments:

Post a Comment