azli.adlan@kosmo.com.my
KUALA SELANGOR – Selangor merupakan negeri kedua tertinggi selepas Sabah yang mencatatkan kes penyakit tibi dengan mencatatkan 4,151 kes pada tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, ia merupakan peningkatan 16 peratus berbanding tahun 2012.
“Sementara itu, sebanyak 245 kes kematian akibat penyakit tibi atau batuk kering dicatatkan di negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Secara puratanya, seorang rakyat negeri ini meninggal dunia akibat penyakit tersebut dalam tempoh 36 jam,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat Selangor di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dekat sini semalam.
Pada majlis sama, Jabatan Kesihatan Selangor turut melancarkan buku Polisi dan Garis Panduan Penyakit Tibi dan Kusta: Edisi Pertama 2014 bagi memantapkan langkah kawalan dan pencegahan kedua-dua penyakit berjangkit itu.
Azman berkata, statistik itu agak membimbangkan kerana dianggarkan 500 lagi kes penyakit bawaan udara tersebut masih gagal dikesan dan ia berpotensi menyebabkan perebakan penyakit berkenaan di negeri ini.
Menurut beliau, penyakit tersebut yang telah dikesan sejak zaman Firaun di Mesir itu masih merupakan penyumbang utama kematian bagi penyakit berjangkit di dunia selepas AIDS.
"Penyakit tibi ada penawarnya dan ia boleh sembuh sepenuhnya dalam tempoh enam bulan jika mendapat rawatan awal."
Oleh itu masyarakat perlu prihatin dan segera mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai simptom batuk berterusan selama dua minggu, demam sepanjang malam, hilang selera makan dan susut berat badan secara mendadak," katanya.
Azman memberitahu, oleh kerana penyakit tibi biasanya menular dalam kalangan warga asing yang menghuni negara ini, kerajaan turut menawarkan rawatan percuma mengubati penyakit itu kepada golongan tersebut.
No comments:
Post a Comment