Translate

Monday, April 14, 2014

Tumpukan kebajikan rakyat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM -  Sultan   Selangor ,  Sultan  Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri  Selangor  agar memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat negeri ini yang berjumlah kira-kira 5.5 juta orang.

Sehubungan itu, baginda mahu semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penjawat awam dan para pemimpin masyarakat supaya bekerjasama dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 Sultan  Shafaruddin turut menitahkan seluruh wakil rakyat di negeri ini agar tidak merosakkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Wakil-wakil rakyat janganlah bercanggah dan berbalah mengenai perkara tidak berfaedah, sebaliknya hendaklah menjalankan tugas mereka untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat serta negeri  Selangor .

"Pada hemat beta adalah tidak wajar sekiranya terdapat mana- mana wakil rakyat atau kakitangan awam yang cuba merosakkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri  Selangor ," titah baginda ketika berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Persidangan  DUN   Selangor  Ke-13 di sini semalam.

 Sultan   Selangor  bertitah, Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada 26 Februari lepas antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri berhubung penstrukturan semula industri air di  Selangor  akan menguntungkan rakyat negeri ini.

"Ini kerana, rakyat  Selangor  bukan sahaja akan terus mendapat air percuma 20 meter padu setiap bulan, malah akan mendapat bekalan air berterusan dengan kadar tarif yang munasabah," titah baginda.

Terdahulu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang di hadapan Speaker  DUN , Hannah Yeoh.

Isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memenangi pilihan raya kecil  DUN  Kajang pada 23 Mac lepas dengan majoriti 5,379 undi apabila memperoleh 16,741 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun yang mendapat 11,362 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan setelah peletakan jawatan secara mengejut penyandang kerusi  DUN  berkenaan, Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari lepas.

No comments:

Post a Comment