Translate

Saturday, January 11, 2014

25 tan kentang hilang ditemui

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Misteri kehilangan dua kontena berisi hampir 25 tan ubi kentang di gudang sebuah syarikat pengimportan bawang dan ubi kentang di Taman Klang Jaya, Klang dekat sini pada 4 Januari lalu terjawab.

Ini berikutan penahanan tujuh lelaki disyaki terlibat dalam kecurian tersebut pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, seorang lelaki yang disyaki anggota sindiket tersebut diberkas berhampiran stesen minyak di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang dekat sini pada pukul 9 pagi, Selasa lalu.

Katanya, ia berikutan aduan dibuat pengurus jualan syarikat pengimportan bawang dan ubi  kentang  berkenaan.

"Hasil soal siasat terhadap suspek, dua buah  kontena  yang dilarikan sebelum ini dijumpai semula dalam keadaan kosong di lokasi berasingan iaitu Persiaran Anggerik Aranda, Kota Kemuning di sini dan Jalan TSB 3, Kota Damansara dekat sini sekitar pukul 1 pagi, 8 Januari lalu.

"Kira-kira 13 jam kemudian, serbuan dilakukan di sebuah gudang pembungkusan bawang dan ubi  kentang  di Kampung Baru Sungai Buloh, dekat sini membawa kepada penemuan kesemua ubi  kentang  diimport dari China itu," katanya di sini semalam.

Sindiket melarikan  kontena  mengandungi ubi  kentang  bernilai lebih RM100,000 itu dipercayai didalangi seorang lelaki yang baru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mencuri empat  kontena  berisi tembaga bernilai RM2.3 juta pada 9 Disember tahun lalu.

Pada 9 Disember tahun lalu, akhbar melaporkan seorang pemandu lori bersama empat rakannya, termasuk seorang anggota polis trafik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung kes curi empat  kontena  berisi tembaga bernilai RM2.3 juta di Pelabuhan Klang bulan sebelumnya.

Hakim G. Ramesh membenarkan keempat-empat tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, Mohd. Adnan berkata, sewaktu serbuan, ubi  kentang  yang dicuri terbabit dipek semula dalam bungkusan lima dan 30kg dipercayai untuk pasaran Lembah Klang sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.

Ujarnya, ekoran itu, pemilik gudang berkenaan dan lima pekerjanya termasuk dua pendatang asing tanpa izin masing-masing warga Thailand dan Bangladesh ditahan.

"Salah seorang daripada tujuh suspek yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah lampau.

"Siasatan awal mendapati, sindiket tersebut menjual kesemua ubi  kentang  dalam  kontena  itu pada harga RM10,000 hingga RM15,000 kepada pemilik gudang pembungkusan bawang dan ubi  kentang  berkenaan," katanya.

Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 38 tahun itu ditahan reman hingga esok.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment