Translate

Friday, January 10, 2014

Paderi pertahan guna kalimah Allah di gereja

Oleh MOHD.  AZLI  ADLAN
azli .adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM - Pengarang The Herald,  Paderi  Lawrence  Andrew  (gambar) terus berdegil apabila dia bukan sahaja enggan meminta maaf kepada umat Islam malah akan meneruskan penggunaan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan gereja Katolik di Selangor.

 Paderi  itu menegaskan, pendirian tersebut diambil berasaskan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada rakyat negara ini menganuti dan mengamalkan agama masing-masing.

"Kenyataan saya sebelum ini berkaitan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan turut menyebut bahawa mana-mana kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agama masing-masing.

"Kita tidak boleh mengarahkan agama lain apa yang perlu dibuat. Saya tak boleh minta orang Islam, Hindu, Buddha dan Sikh apa yang perlu mereka buat.

"Saya tidak boleh cakap apa-apa tentang agama lain," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi di sini semalam.

Dalam pada itu, Sallehen berkata, kerajaan negeri Selangor mendukung dan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun belum memutuskan sebarang tindakan yang akan diambil jika terdapat gereja di Selangor yang menggunakan kalimah Allah dalam upacaranya.

"Tiada perbincangan dibuat untuk perkara itu, cuma kita berlandaskan titah Tuanku berhubung isu kalimah Allah ini," ujarnya.

Sebelum ini beberapa pertubuhan kerajaan termasuk UMNO Selangor mendesak  paderi  tersebut meminta maaf berikutan tindakan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan geraja Katolik di negeri itu.

No comments:

Post a Comment