SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor akan memanggil Pengarang The Herald, Lawrence Andrew untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya mengenai kalimah Allah pada Selasa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Salehen Mukhyi berkata, perjumpaan itu juga bertujuan untuk membincang dan memberi penjelasan kepada Andrew mengenai larangan penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.
"Kerajaan negeri (Selangor) selari dengan dengan titah Sultan Selangor bahawa semua pihak perlu menghormati Islam sebagai agama rasmi manakala masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
"Semua rakyat Selangor tidak kira agama dan kaum mesti mematuhinya bagi menjamin kelangsungan hidup berharmoni, bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain seperti yang sudah terjalin sekian lama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - KOSMO!
No comments:
Post a Comment