Translate

Saturday, January 11, 2014

Ibu tunggal hadapi 88 pertuduhan tipu RM3.5 juta

SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal menghadapi 88 pertuduhan menipu seorang pengurus restoran wanita melibatkan transaksi lebih RM3.5 juta kira-kira empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

 Fazira   Meor   Hussin , 46, yang kini merupakan seorang penganggur didakwa melakukan perbuatan tersebut dari 20 Januari 2010 sehingga 27 April 2012.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa memperdaya pengadu, Sharifah Noorazaliah Sy. A. Sahabudin, 52, untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM3,536,965 kepadanya bagi urusan perniagaan yang sebenarnya tidak wujud.

Bagi meyakinkan mangsa yang merupakan seorang pengurus restoran makanan segera,  Fazira  mengemukakan surat jaminan palsu daripada Bank Negara Malaysia.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di empat cawangan bank di bandar raya ini dan USJ, Subang Jaya dekat sini dari 20 Januari 2010 sehingga 27 April 2012.

 Fazira  yang mempunyai dua anak kelihatan tenang ketika 88 pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah selama hampir sejam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam, Noramir Ahmad Ibrahim mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan dan mohon dibicarakan.

Hakim G. Ramesh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM50,000 dengan dua penjamin.

No comments:

Post a Comment