Translate

Thursday, January 9, 2014

Kastam rampas mercun RM1.2j

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


PELABUHAN KLANG – Kastam Selangor berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai lebih RM1.2 juta termasuk cukai selepas menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Kebun, Klang dekat sini pada Jumaat lalu.
Dalam serbuan pada pukul 3 petang itu, sebanyak 665 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api ditemui di premis berkenaan yang disyaki telah dijadikan sebagai stor penyimpanan.
Pengarah Kastam Selangor, Badaruddin Mohamed Rafik berkata, pemeriksaan mendapati, hampir setiap ruang rumah teres dua tingkat yang tidak berpenghuni itu dipenuhi dengan kotak berisi barangan terbabit.

"Kesemua  mercun  dan bunga api tersebut bernilai RM751,025 manakala cukainya pula sebanyak RM488,166.25. 

"Siasatan awal mendapati, premis itu dijadikan stor penyimpanan barangan larangan tersebut sebelum diedarkan ke seluruh negara sempena sambutan Tahun Baru Cina pada akhir bulan ini. 

"Kita juga sedang mengenal pasti dalang penyeludupan  mercun  dan bunga api tersebut termasuk akan memanggil pemilik premis terbabit untuk memberi keterangan tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar di Wisma  Kastam   Selangor  di Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini semalam. 

Badaruddin berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta  Kastam  1967 kerana menyimpan dan memiliki barang belum lulus  kastam  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda antara 10 kali ganda dan 20 kali ganda nilai barang rampasan atau kedua-duanya sekali. 

Dalam kes berlainan, beliau memberitahu, satu sindiket mengilang dan menjual arak haram berjaya dilumpuhkan berikutan penahanan tiga lelaki warga Myanmar di sebuah rumah kedai di Taman Cheras Utama, Kuala Lumpur dekat sini pada 2 Januari lalu. 

Menurut Badaruddin, serbuan pada pukul 3 petang itu juga berjaya merampas 5,208 botol minuman keras yang disyaki dihasilkan secara haram bernilai RM288,455.45.

Badaruddin berkata, pihaknya turut menyita beberapa buah mesin yang disyaki digunakan untuk memproses arak haram berkenaan dan ketiga-tiga lelaki warga Myanmar yang berusia 26 tahun itu telah direman selama tujuh hari sehingga hari ini. 

Ujarnya, selain Seksyen 135 (1) (d) Akta  Kastam  1967, kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Eksais 19766 kerana memiliki alat suling dan lain-lain tanpa permit yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda antara RM2,000 dan RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment