Translate

Tuesday, January 14, 2014

Pengusaha kantin akur turun harga

KUALA SELANGOR - Sebahagian besar pengusaha kantin yang menaikkan harga makanan dan minuman sejak sesi persekolahan bermula awal bulan ini telah akur untuk menurunkan semula harga berikutan campur tangan Kementerian Pendidikan.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya mengarahkan guru besar dan pengetua sekolah terlibat untuk bersemuka dengan pengusaha kantin sekolah masing-masing bagi menangani masalah tersebut.
"Kementerian (Pendidikan) ada terima beberapa aduan rasmi, namun selepas ditegur pengurusan sekolah, pengusaha telah menurunkan semula harga makanan dan minuman di kantin mereka.
"Saya juga telah minta guru besar dan pengetua agar sentiasa memantau harga makanan dan minuman di kantin sekolah masing-masing bagi memastikan murid tidak terbeban," katanya selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, Bestari Jaya dekat sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Mary Yap Kain Ching, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Dr. Naimah Ishak.

 Idris  berkata, laporan awal jawatankuasa untuk menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di  kantin  sekolah yang ditubuhkan baru-baru ini mendapati kebanyakan kenaikan tersebut disebabkan pengusaha terbabit mahu mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan berlebihan.

Menurut beliau, pengusaha  kantin  sekolah masih boleh mendapat keuntungan walaupun mengekalkan harga biarpun berlaku sedikit kenaikan kos berikutan peningkatan tarif elektrik dan harga gula.

"Kalau boleh tak perlu naikkan harga makanan dan minuman di  kantin  sekolah kerana kos sekarang ini tidaklah tinggi sangat.

"Kalau mahu naik sekali pun biar munasabah dan berbincang dengan pengurusan sekolah," katanya.

Kosmo! sebelum ini menerima aduan daripada ibu bapa yang menyatakan terdapat pengusaha  kantin  menaikkan harga makanan antara 50 sen hingga RM1 bagi setiap hidangan yang dijual mulai sesi persekolahan tahun ini bermula 3 Januari lalu.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusi Khair bagi menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di  kantin  sekolah di seluruh negara pada 6 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment