Translate

Wednesday, July 18, 2012

Sindiket jual tanah palsu tumpas

IPOH - Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket penipuan urus niaga pembelian tanah yang tidak wujud dengan menggunakan geran tanah dan dokumen pengenalan palsu baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tujuh termasuk lima lelaki dan dua wanita yang dipercayai anggota sindiket berkenaan ditahan berikutan aduan dua mangsa pada 4 dan 5 Jun lalu melibatkan kerugian RM650,000.

"Pemilik kedai tayar dan kontraktor pembinaan berkenaan masing-masing mendakwa kerugian RM500,000 dan RM150,000 apabila terbeli tanah yang tidak wujud di Gombak, Selangor daripada sindiket berkenaan.

"Mereka menyedari tertipu setelah mendapati geran tanah yang diserahkan sebenarnya palsu malah anggota sindiket berkenaan turut disyaki menggunakan dokumen pengenalan palsu semasa berurusan dengan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, semua tujuh suspek berkenaan berumur antara 44 tahun hingga 71 tahun termasuk seorang peguam yang telah digantung tauliah oleh Majlis Peguam Malaysia ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan bandar raya ini secara berperingkat-peringkat dari 6 Jun lalu hingga awal bulan ini.

Ujarnya, turut dirampas dua geran tanah, dua kad pengenalan dan dua lesen memandu yang semuanya didapati palsu, manakala tiga daripada tujuh suspek berkenaan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan penipuan, pemalsuan dan memiliki dadah.

"Modus operandi sindiket berkenaan ialah menyamar sebagai pemilik tanah dengan menggunakan geran tanah palsu yang dicetak menggunakan kertas rasmi pejabat tanah dan galian.

"Sindiket ini juga berurusan dengan mangsa dengan menggunakan kad pengenalan dan lesen memandu palsu yang diubah suai dengan memasukkan foto mereka tetapi mengandungi butir pemilik tanah asal," katanya.

No comments:

Post a Comment