Translate

Wednesday, July 11, 2012

Pasar harian Kamunting dinaik taraf

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING -  Pasar  malam dan  pasar   harian Kamunting  akan diberi nafas baharu apabila kedua-dua tempat itu akan  dinaik   taraf  dengan melibatkan kos RM1.5 juta dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, projek naik  taraf  yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun itu bakal memberi keselesaan kepada 600 peniaga yang mencari rezeki di tapak  pasar  terbabit.

"Saya ucap tahniah kerana permohonan yang dibuat Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie untuk menaik  taraf   pasar  malam dan  pasar   harian   Kamunting  telah diluluskan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) baru-baru ini.

"Ia akan menyelesaikan masalah termasuk membaik pulih tapak  pasar  malam dan  pasar   harian   Kamunting  dan menjadikannya lebih cantik," katanya selepas menghadiri Kempen Pencegahan Jenayah di tapak  pasar  malam dan  harian   Kamunting  di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan, Ahmad Shalimin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Kamunting , Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Zambry berkata, kerja-kerja menaik  taraf  berkenaan akan dimulakan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) selepas penilaian dilakukan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Zambry turut menyampaikan replika kunci kepada 20 penghuni rumah projek Kurnia Kasih Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Kurnia Jaya Tambahan.

Ujarnya, individu terbabit merupakan golongan miskin dan miskin tegar yang terlibat dalam penempatan semula setinggan yang dipindahkan berikutan projek landasan kereta api berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar.

No comments:

Post a Comment