TAIPING - Bekas banduan paling lama di negara ini, Mohd. Salleh Talib yang mesra dipanggil Pak Leh sudah meninggal dunia kira-kira empat bulan lalu pada usia 63 tahun akibat sakit tua selepas enam tahun menikmati kebebasan daripada tirai besi.
Adik bongsunya, Abdul Wahab, 42, berkata, Pak Leh yang menjalani hukuman penjara selama 31 tahun menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua di rumah adik perempuannya, Fatimah, 45, di Kampung Sungai Lilin, Pokok Assam di sini pada 3 Mac lalu.
"Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Pokok Assam di sini. Sebelum itu, tahap kesihatan arwah abang merosot setelah menjalani pembedahan katarak mata di Hospital Taiping akhir tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Madinah, Changkat Jering dekat sini semalam.
Perjalanan hidup hari-hari terakhir Pak Leh agak menyedihkan dengan tahap penglihatannya merosot teruk setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada awal tahun 2009.
Biarpun begitu, dia tetap menggagahkan diri berniaga membaiki kasut dengan menumpang kaki lima sebuah restoran di pekan Changkat Jering demi sesuap nasi.
Nasib malang Pak Leh bermula selepas bapanya, Talib Arabulah meninggal dunia kerana sakit tua beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha pada 2007.
Perkahwinan yang dibina selama hampir dua tahun dengan Rohani Mohd. Jani, 59, yang berasal dari Kampung Air Panas Pak Abas, Alor Gajah, Melaka musnah apabila mereka berpisah pada Mei 2009 setelah isterinya itu tidak mahu tinggal di Changkat Jering.
Kosmo! pada 4 Oktober 2006 melaporkan Pak Leh yang dihukum penjara sepanjang hayat dan enam sebatan pada 1975 atas kesalahan rompakan bersenjata api dibebaskan setelah mendapat pengampunan Sultan Kedah.
No comments:
Post a Comment