Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH – Tembelang tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang
dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan dengan menyamar sebagai ahli
perniagaan dan golongan kenamaan (VIP) terbongkar selepas diberkas
polis di Greentown di sini kelmarin.
Suspek warga asing yang ditahan itu juga disyaki memiliki senjata api
tanpa lesen sah berdasarkan penemuan sepucuk pistol bersamanya ketika
serbuan pada pukul 5.30 petang itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ketiga-tiga
suspek berusia 35 hingga 51 tahun dan berasal dari Alor Setar, Kedah itu
berada di dalam sebuah kereta Toyota Harrier yang diletakkan di hadapan
bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di sini.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek adalah warga
asing dan dia memegang sebuah beg kecil hitam mengandungi sepucuk pistol
jenis Holek Model 820 Cal.38.
“Selain pistol terbabit yang masing bersarung, polis turut merampas
lima butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang tersimpan di
dalam beg sama,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata, semakan juga mendapati kesemua suspek termasuk seorang kakitangan kerajaan berusia 51 tahun tidak mempunyai lesen menyimpan dan menggunakan senjata api itu.
Tambahnya lagi, siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kegiatan penyamaran sebagai ahli perniagaan dan golongan VIP .
"Suspek warga Indonesia yang berusia 47 tahun dan berkahwin dengan wanita tempatan itu juga disyaki menggunakan dokumen pengenalan palsu bagi mengaku kononnya rakyat negara ini," katanya.
Tambahnya, semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
No comments:
Post a Comment