IPOH - Persidangan dan Seminar Perniagaan Kesihatan, Spa dan Kecantikan Asia Pasifik yang telah berlangsung di sini baru-baru ini anjuran Majlis Amanah Rakyat ( Mara ) telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 169 pemain industri dari rantau ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, program itu bertujuan untuk memberi peluang kepada pengusaha produk kesihatan, kecantikan dan spa tempatan khususnya bumiputera mencari peluang memasarkan produk mereka di peringkat global.
"Memandangkan negara kini memiliki banyak tumbuh-tumbuhan herba maka tiada alasan untuk para pengusaha kita menghasilkan produk yang bermutu tinggi.
"Namun mereka mungkin terjebak dengan masalah pemasaran sehingga menyebabkan mereka gagal bersaing di peringkat antarabangsa.
"Oleh itu usaha Mara untuk membantu dengan mengadakan persidangan ini amat dihargai," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian persidangan berkenaan.
Hasan menjelaskan, sebanyak 18 pakar industri kecantikan, spa dan kesihatan dari Thailand, Singapura, Hong Kong, Filipina dan Australia telah menyertai program berkenaan untuk berkongsi pengalaman dan petua perniagaan mereka.
"Saya berharap para pengusaha tempatan dapat mengambil peluang ini untuk membangunkan jaringan perniagaan masing-masing," ujarnya.
No comments:
Post a Comment